



“Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, terus terang wajah arwah bapa saya yang terbayang di depan mata. Saya bagaikan dapat melihat kelibatnya sehingga saya tidak mampu untuk menahan kesedihan. Saya dan arwah ayah memang rapat dan dialah pengkritik saya paling setia.
“Ketika saya dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular buat julung kalinya, dialah juga orang yang paling gembira sehinggakan saya pernah berjanji pada diri saya untuk menghadiahkan kemenangan itu kepadanya. Cuma rezeki belum berpihak kepada saya ketika itu.
“Disebabkan itulah, apabila saya berjaya mengungguli kategori ini selepas empat kali tersenarai sebagai finalis, saya rasa sebak kerana arwah ayah tidak sempat untuk melihat saya berjaya, sekali gus mengotakan janji kepadanya.”
Semua itu bukanlah lakonan, walaupun Fizz memang merupakan pelakon drama TV yang hebat. Turut terkilan kerana di malam kemenangannya ini, ibunya yang sedang uzur tidak dapat bersama-samanya seperti sebelum ini.
“Sebelum ini, saya memang selalu membawa ibu ke majlis ABPBH. Cuma tahun ini dia tidak dapat turut serta kerana tidak larat. Memang terkilan kerana dia tiada bersama-sama saya apabila anaknya menang anugerah. Saya ada menelefonnya untuk berkongsi kegembiraan ini. Dia cuma meminta tidak meneruskan perbualan dan meminta saya sedekahkan surah Al-Fatihah buat arwah ayah. Itu saja,” tutur Fizz sambil menitiskan air mata.
Menurut Fizz, memang dia tidak lagi mengimpikan untuk menggenggam trofi berkenaan kerana dia sedar, detik kegemilangannya sudah berlalu berbanding sewaktu zaman drama bersiri lakonannya, Nur Kasih, meletup di kaca TV.
“Seorang artis popular pernah memberitahu saya, katanya, kemenangan hanya akan berpihak kepada saya apabila nama saya berada di kemuncak. Saya rasakan, zaman kemuncak saya ialah sewaktu drama Nur Kasih ditayangkan di televisyen. Jadi, apabila saya tidak memenangi apa-apa sewaktu zaman kemuncak saya, saya terus putus harap dan yakin peluang itu tidak akan menjelma lagi. “Lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai artis baru, membuatkan harapan saya untuk menang anugerah ini menjadi amat tipis. Tapi siapa sangka, zaman yang saya sangkakan sudah berakhir rupanya baru hendak bermula.”
Semuga Fizz terus meneruskan bakat lakonannya ke tahap yang lebih tinggi. Ternyata pelakon drama TV lebih melekat dan dekat di hati penonton tau!
OH ARTIS: KALAU SUDAH REZEKI, CEPAT ATAU LAMBAT TETAP AKAN DAPAT.



















