

Revalina S Temat bukanlah nama asing lebih-lebih lagi kepada peminat dunia sinetron. Revalina antara pelakon terawal yang membawa deman sinetron ke Malaysia sehinggakan sinetron ‘Bawang Putih, Bawang Merah’ menjadi igauan dan trend di ketika itu.
Lakonannya yang mendalam dan menyentuh hati peminatnya ternyata membawa tuah kerana diterima baik oleh penonton di Malaysia. Dia juga telah diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah tempatan untuk membintangi lakonan filem.
“Pada 1999, saya telah memenangi pertandingan Gadis Sampul dan dari situlah saya kemudiannya melebarkan sayap ke bidang lakonan dan model. Saya tidak pernah menyangka lakonan menerusi Bawang Putih Bawang Merah berjaya mengangkat nama saya sebagai seorang pelakon lebih-lebih lagi ianya juga diterima baik oleh penonton di Malaysia.
“Saya bersyukur dan gembira kerana diberi kepercayaan untuk membintangi filem pertama Pocong 2 yang ditayangkan pada 2006. Pengalaman berlakon dalam sesebuah filem amat berharga buat diri saya walaupun ketika itu saya masih mentah dalam lakonan.”
Terbaru, Reva dikhabarkan telah membintangi sebuah drama 30 episod berjudul Saranghae yang bakal ditayangkan di kaca televisyen seberang pada Julai akan datang. Apa yang menariknya tentang drama tersebut, aktres kelahiran Jakarta ini telah digandingkan bersama penyanyi berasal dari Korea, Tim.
“Drama ini adalah merupakan projek kerjasama dua buah negara yang berkisarkan tentang percintaan pasangan kekasih yang berasal dari negara berbeza. Saya terlibat dalam penggambaran drama ini sejak Mac lalu di mana lokasi penggambarannya juga dilakukan di kedua- dua negara.
Saya menerima tawaran lakonan ini sebagai satu penghormatan kerana ianya melibatkan kerjasama antara dua negara di mana saya sendiri akan membawa imej Indonesia. Saya harap penonton dapat menerima baik lakonan saya. Walaupun sudah banyak membintangi filem dan drama, saya akui masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dalam lakonan saya.”
Reva yang pernah putus cinta dengan jejaka berketurunan Arab, Panji Trihatmodjo tidak mahu memikirkan tentang itu dan mahu menumpukan kerjaya dan perniagaan restorannya.
OH ARTIS: TURUT TERKENA PENANGAN SINETRON LAKONANNYA DULU NI. PUTIH OOO PUTIH.. FUH! BERTAHUN SUDAH BERLALU DAN SEKARANG KITA DISAJIKAN DENGAN DRAMA-DRAMA MELAYU YANG BAGUS-BAGUS MENGGANTIKAN DEMAM SINETRON!



















