

Filem hebat ‘My Way’ bakal ditayangkan di Malaysia! Filem hebat ini akan ditayangkan pada 19 April 2012. Jika selama ini hanya filem Hollywood diketengahkan di Malaysia dan diiktiraf sebagai produk berkualiti, apakata anda tonton pula filem dari Korea ini yang menelan belanja sebanyak 20 bilion won (24.92 million USD).
Filem ini telah mencatatkan kutipan box office di sana. Oleh itu Knotty Ideas Sdn Bhd telah mengambil inisiatif membawa filem paling mahal Korea itu masuk ke Malaysia. ‘My Way’ merupakan filem pertama Korea yang memaparkan insiden perang dunia kedua. Anda merupakan antara penonton pertama di Malaysia menonton filem pertama Korea seperti ini. Jika selama ini karya dari Korea melalui drama-drama bersiri yang popular yang membuatkan kaum wanita menitiskan air mata kerana kisah cinta yang romantis, mereka juga berupaya menghasilkan filem hebat yang membuatkan penonton menangis kerana perang!
Melalui arahan pengarah tersohor yang mula menempah nama di dunia Hollywood, Kang Je-kyu, hasil filem ini tidak perlu diragui. Kang ini yang menjadi pemangkin kepada industri filem Korea dan pernah mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya mencatat penonton sebanyak 10 juta orang untuk filem arahan terdahulunya, ‘Tae Guk Gi: The Brotherhood of War.
Pada malam 3 April, Selasa bertempat di GSC, Singature, The Gardens krew kami telah dijemput ke pra-tonton filem My Way ini. Terima kasih kepada pihak Alternate Pictures. Jamuan ringkas telah disediakan kepada wakil media dan ucapan alu-aluan telah diberikan oleh wakil Knotty Pictures, Encik Hisham yang merupakan penerbit kepada filem My Way di Malaysia.
Pendapat Kami
Apabila tayangan bermula kami terfikir juga bagaimana mahu memahami filem yang bercakap dalam bahasa asing bagi kami. Tetapi apabila ternampak senikata English juga Bahasa Malaysia disediakan, perasaan penuh lega dan kami menumpukan perhatian kami.
Kami telah maklum, kisah ini dipetik daripada kisah benar. Filem ini juga telah mendapat sambutan hebat di luar. Oleh itu ‘expectation’ kami adalah sangat tinggi. Pengenalan cerita agak ringkas dan cepat memberitahu tentang permulaan cerita. Sedikit sebanyak kami dapat memahaminya juga perjalanan kisah di zaman mereka kanak-kanak dan peringkat remaja.
Kisah aksi yang hebat terus disajikan selepas kedua bintang utama dewasa. Pelbagai pemandangan perang yang sangat mengerikan, mendebarkan dan menyayat hati dipaparkan. Kisah tentang bagaimana seksanya menjadi tawanan perang yang nyawa sentiasa di hujung tanduk. Lebih-lebih lagi apabila menjadi tawanan perang pelbagai negara seperti Jepun, Soviet dan German.
Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan kesakitan, kedua bintang utama ini terselamat daripada tragedi demi tragedi yang berlaku. Ada aksi-aksi yang tidak sampai hati kami melihatnya. Sangat menyentuh perasaan. Lebih-lebih lagi memaparkan tentang dendam seorang gadis di mana dia telah dirogol bersama ibunya di hadapan bapanya. Juga tentang erti persahabatan yang terpaksa dikorbankan kerana takut diapa-apakan pihak yang menawan mereka.
Saksikan juga bagaimana dasyatnya peperangan perang kedua yang berlaku. Segala yang dipaparkan membuatkan kami lupa yang itu hanya lakonan. Tidak terbayang dasyatnya peperangan yang sebenarnya. Penataan cahaya, persembahan set lokasi, bunyi, jentera-jentera yang digunakan adalah amat canggih.
Lebih hebat lagi, filem ini dipenuhi dengan aksi-aksi luar biasa berbanding dialog yang menjela-jela.
Kami berikan rating: 4 dari 5 bintang untuk filem ini. Kami kategorikan : Wajib Tonton. Jika anda mahu mengetahui dan ment seksa dan teruknya semasa perang kedua. Kepada anda yang sukakan cerita perang, cerita ini adalah sesuai untuk anda saksikan.
Saksikan dan akuilah sendiri, apabila filem ini mula ditayangkan pada 19 April 2012.
Sedikit gambar sepanjang pra-tonton ini. Lebih banyak gambar dan video akan kami upload nanti.


SINOPSIS ‘MY WAY’
Sebuah filem berdasarkan kisah benar peristiwa perang dunia kedua ini bermula dengan pertemuan dua pemuda dari dua Negara. Jun-Shik (Jang Dong-Gun), pemuda Korea yang bercita-cita ingin menjadi seorang jaguh marathon seperti idolanya dan Hasegawa Tatsuo (Joe Odagiri), pemuda Jepun yang mempunyai kehebatan larian seperti Jun-Shik. Mereka bertemu sebagai musuh pada zaman kanak-kanak lagi apabila masing-masing mahu menunjukkan kehebatan larian mereka. Namun, segalanya berubah apabila Jun-Shik dan rakan baiknya Kim In-Kwon (Lee Jong-Dae) dikerah menjadi tentera Jepun akibat rusuhan yang mereka lakukan ketika kemenangan yang sepatutnya milik Jun-Shik, diberikan kepada Tatsuo dalam pemilihan marathon Olimpik Tokyo. Lebih menyakitkan apabila Tatsuo pula mengetuai tentera Jepun sebagai Kolonel.
Penglibatan mereka berdua dalam peperangan dunia kedua telah merapatkan jurang permusuhan, lebih-lebih lagi apabila tentera Jepun kalah kepada tentera Soviet dan memaksa Tatsuo melucutkan jawatannya dan menjadi tawanan perang tentera soviet bersama Jun-Shik. Mereka dikerah bersama tawanan perang yang lain untuk berperang dengan tentera Jerman sehingga menyebabkan perpisahan terjadi antara keduanya dalam peperangan paling teruk dalam era perang dunia kedua.
Tatsuo yang mula menyedari sikapnya yang mementingkan diri akhirnya berjaya bertemu kembali dengan Jun-Shik apabila mereka sama-sama berada di kem tentera Jerman di Normandy, Perancis. Kali ini mereka sepakat untuk melarikan diri dari kem tentera tersebut dan kembali ke Korea untuk meneruskan cita-cita mereka menjadi jaguh marathon. Berjayakah misi mereka? Saksikan perjalanan perit yang diharungi oleh dua pemuda ini yang dahulunya musuh kini bergantung harapan sesama sendiri demi mencapai impian mereka yang satu.









Filem ‘My Way’ ini telah mengambil masa penggambaran selama 156 hari. Menggunakan kamera berteknologi canggih serta binaan set dan props untuk menampakkan keadaan seakan-akan sama seperti zaman perang dunia kedua. Kang sendiri mengambil masa 3 tahun untuk menghasilkan skrip ‘My Way’ ini berdasarkan penyelidikkan mendalam mengenai sejarah perang dunia kedua yang melibatkan insiden Nomanhan, peperangan tentera Soviet dengan tentera German serta peperangan di Normandy, Perancis.
Namun, paling istimewanya, cetusan idea filem ini sebenarnya berasal dari hanya sekeping gambar. Gambar di bawah simpanan arkib negara Amerika Syarikat itu didedahkan menerusi program dokumentari Korea yang ditonton oleh Kang di mana ia memaparkan imej seorang tentera berwajah Asia berdiri dikalangan tentera-tentera Jerman. Siapakah lelaki itu? Menurut sejarah, lelaki itulah satu-satunya tawanan perang berketurunan Asia yang terselamat selepas menempuh tiga insiden perang yang dahsyat.
Berasaskan gambar tersebut, Kang mencipta karyanya tersendiri melalui kisah dua watak utama yang masing-masing berasal dari Korea dan Jepun. Dua pemuda ini mengejar cita-cita yang sama iaitu ingin menjadi jaguh maraton. Namun pertemuan mereka berdua ini telah bermula dengan permusuhan dan ianya bertambah konflik apabila kedua-duanya bertempur di medan peperangan dunia kedua. Permusuhan akhirnya mulai suram dengan perlahan-lahan apabila mereka semakin mengenali di antara satu sama lain sepanjang perjalanan mereka menempuhi alam peperangan.



My WAY OFFICIAL TRAILER
Filem ‘My Way’ menjanjikan keterujaaan penonton dengan aksi-aksi perang yang sangat hebat dan meyakinkan seperti gambaran sejarah terhadap zaman perang dunia kedua. Namun disebalik pertempuran yang menakutkan itu, terselit nilai persahabatan yang ingin disampaikan telus pada jiwa penonton. Akan mula bertempur di pawagam Malaysia bermula 19 April ini, masyarakat Malaysia bakal menyaksikan sebuah filem aksi perang paling hebat pernah dihasilkan dari negara Asia setanding filem Hollywood.
Tarikh Tayangan : 19 April 2012
Pengarah : Kang Je-Kyu
Pelakon : Jang Dong-Gun, Odagiri Joe, Fan Bingbing, Kim In Kwon, Han Seung Hyun , Do Ji Han & Lee Yeon Hee
Penulis skrip : Kang Je-Kyu & Kim Byung-in
Penerbit Eksekutif : Miky Lee, So Jin-Woo & Mu Xiao Guang
Genre : Aksi / Perang
Bahasa : Korea / Jepun / China / Rusia / Jerman (Sari kata Bahasa Inggeris)
Klasifikasi : 18 PL
Durasi : 143 minit
Terbitan : Directors Production
Fan page : www.facebook.com/FilemMyWay
Jangan dipandang rendah kemampuan negara Asia seperti Korea untuk menghasilkan sebuah filem yang gah. Mari kita adilinya nanti.
OH! ARTIS: SUKA FILEM PERANG YANG MENYENTUH HATI. PASTI AKAN MENYENTUH PERASAAN, LEBIH-LEBIH LAGI KISAH BENAR SEBEGINI.



















