

Anda peminat telefilem ‘Mimpi Sampai Ke Bintang’ yang disiarkan di Astro Ria Disember lalu? Jika ya, memang tidak hairan pun kerana telefilem itu mencecah 1.1 juta penonton. Pelakon sinetron ini pun sudak terkenal sangat di sini. Siapa lagi kalau bukan Randy Pangalila yang baru berusia 22 tahun.
Kepada yang ketinggalan menonton telefilem ini atau mahu menonton lagi lakonan Randy nantikan darama bersiri ‘Dalam Hati Ada Taman’ yang turut mengandingkan Randy bersama Elfira Loy sama seperti Telefilem yang dahulu. Drama bersiri 13 episod itu yang bakal disiarkan di Astro Ria, Oktober depan. Pelakon lain yang terbabit dalam drama itu termasuk Haniz Suraya, Amy Mastura dan Didie Alias.
Selebriti kelahiran Surabaya, Jawa Timur ini menjelaskan, seandainya Mimpi Sampai Ke Bintang tidak ditonton peminat di Malaysia, bermakna itu percubaan pertama dan terakhir untuknya beraksi di sini.
“Saya mengetahui mengenai sambutan baik penonton terhadap telefilem pertama yang saya bintangi di sini menerusi penerbit dan pengarah, Michael Ang. Saya juga difahamkan, jumlah tontonan Mimpi Sampai ke Bintang untuk stesen berbayar seperti Astro sangat tinggi dan mencipta rekod.
“Saya senang mendengar maklum balas itu dan ia membuatkan saya mahu terus bekerjasama dengan produksi dan pelakon di sini, di samping mengubat rindu peminat. Pada saya, tiada gunanya berlakon di Malaysia tetapi tidak ada orang menyukainya. Saya juga lakukannya untuk peminat sebagai tanda terima kasih kerana menerima dan menyokong kerjaya seni saya di sini.”
Randy tidak hipokrit. Dia mengakui soal bayaran tinggi yang diterima pelakon yang mula mencipta nama menerusi sinetron Cinta Fitri dan Nada-Nada Cinta itu di sini, menjadi faktor pendorong dia bersetuju membintangi drama mahupun filem dihasilkan produksi tempatan kita. Tetapi Randy menegaskan dia tidak meminta bayaran yang tinggi malah bayaran diterima tidak jauh beza dengan apa yang diperoleh di negaranya dan ia diputuskan pengurusnya.
“Masalahnya sekarang, bukan soal demand atau minta bayaran tinggi yang saya fikirkan setiap kali datang tawaran untuk berlakon di sini. Namun, masalah jadual sebenarnya yang selalu menjadi penghalang. Berlakon sinetron mengambil masa panjang dan ada ketika sampai berbulan-bulan lamanya.
“Jika siri itu diminati ramai, jalan ceritanya dibuat sampai setahun lamanya tetapi jika kurang sambutan, ia hanya bertahan tidak sampai tiga bulan. Disebabkan itu juga, beberapa tawaran yang datang daripada penerbit di sini tidak dapat saya penuhi. Mengenai bayaran itu pula, selalunya saya akan berbincang dengan pengurus. Kadangkala kalau saya mahu melakukannya, pengurus saya akan beralah dan paling penting, saya seronok bekerja.
Saya juga sukakan hasil karya Michael kerana gambarnya cantik. Ia ternyata berbeza dengan kebanyakan sinetron yang pernah saya bintangi. Ini kerana peralatan digunakan canggih menggunakan kamera DSLR, sedangkan di sana masih lagi menggunakan kamera beta. Menonton Mimpi Sampai Ke Bintang, saya berasa teruja kerana keindahan babak dirakamkan. Malah, senyuman saya nampak cantik sekali. Ia bagaikan menonton filem atau iklan televisyen, sedangkan ia hanya drama.”

Randy juga boleh menyanyi dan mencipta lagu. Menerusi drama bersiri Dalam Hati Ada Taman, Randy bukan saja berlakon tetapi turut mencipta dan menyanyikan lagu temanya. Lagu itu sudah lama dalam simpanannya sebagai koleksi peribadi.
“Saya pernah memperdengarkannya kepada Michael dan dia berminat. Malah, katanya, ada babak ditulis diilhamkan daripada lirik lagu yang saya cipta. Setakat ini, lagu pertama belum ada judulnya dan lagu kedua, Everything I Need. Ia akan disusun semula oleh Tam Spider dan kerja-kerja rakaman juga akan dilakukan sama waktunya dengan penggambaran Dalam Hati Ada Taman.”
Sememangnya satu usahasama yang bagus.
OH ARTIS : TERUS MENYOKONG INDUSTRI TEMPATAN DENGAN HASIL KERJASAMA SEBEGINI DAPAT MENAIKKAN LAGI TARAF INDUSTRI KE LUAR.


















