
Watie (Elite) juga Joey (Exist) telah selamat mengadakan majlis resepsi mereka pada 1 Mei lalu di kediaman Setiausaha Akhbar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.

Sebenarnya pernikahan Watie dengan Joey jua adalah kejutan untuk Watie yang menyangkakan Joey datang untuk menghantar rombongan merisik sahaja. Rupanya Joey mahu membuat kejutan dengan terus bernikah.
“Sebenarnya, memang kami ingin berkongsi bersama semua pihak mengenai berita gembira ini. Namun, ada sesuatu yang membuatkan kami merahsiakannya. Saya sebenarnya tidak tahu apa-apa mengenai majlis pernikahan yang dilangsungkan. Ketika itu, memang Joey ada mengatakan hendak menghantar keluarga dia bertemu dengan keluarga saya, tetapi saya ingatkan hanya majlis merisik sahaja.
Sebaliknya, ketika tiba di rumah, kakak menyuruh saya supaya bersolek dan mengenakan pakaian yang cantik. Apa yang paling mendebarkan, di saat itulah saya tahu bahawa rombongan lelaki yang datang sebenarnya untuk tujuan pernikahan.” – Watie
Sememangnya Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud memang sengaja mahu membuat kejutan kepada Watie.
“Hampir dua bulan saya menyorokkan perkara ini daripada dia, bahkan segala urusan untuk bernikah, saya yang uruskan. Tetapi, keluarganya telah mengetahui mengenai rancangan saya ini. Cuma dia sahaja yang tidak tahu. Bagaimanapun, saya lega kerana semuanya berjalan dengan lancar dan kini, kami bahagia menjadi pasangan suami isteri.” – Joey


Majlis resepsi Watie dan Joey turut dikongsi bersama Azza Elite dan suaminya, Azlan Zulaily.
“Alhamdulillah, syukur sangat bila ada yang menaja majlis perkahwinan ini lebih-lebih lagi ia dikongsi bersama kawan baik sendiri. Bagaimanapun, saya memohon maaf kerana tidak dapat menjemput semua rakan-rakan di majlis ini.”
Joey mempunyai seorang anak perempuan, Zidani, 5 tahun hasil perkahwinannya yang lalu bersama bekas isterinya, Noraini Mohamad Nasir. Manakala Watie pula mempunyai seorang anak lelaki, Ahmad Afif Danial, 5 tahun hasil perkahwinannya sebelum ini.
Hubungan di antara mereka amat mesra dan saling menerima.
“Alhamdulillah, Afif sangat suka dan sayangkan Joey. Malah, dia kelihatan selesa dengannya, mereka juga sering meluangkan masa bersama. Saya masih ingat, Afif pernah berkata, mahu namanya berbinkan Joey. Walaupun dia masih kecil, saya yakin dia juga mahu melihat saya bahagia.
“Tentang Zidani, dia juga masih kecil dan memerlukan seorang ibu. Saya juga rapat dengannya. Sama seperti Joey, kami sentiasa mempunyai masa bersama.” – Watie
Joey pula tidak pernah membezakan kasih sayang antara Afif dan Zidani.
“Buat masa sekarang keduanya anak saya. Kasih sayang terhadap mereka sama sahaja. Tidak pernah terlintas di hati saya untuk membahagikan kasih sayang yang ada. Apa yang penting, saya dapat menjadi seorang bapa yang baik kepada Afif dan Zidani. Meski pun saya bukan ayah kandung Afif, namun itu bukanlah alasan untuk saya melebihkan anak saya sendiri.
“Saya tidak mahu sebarang jurang terbentuk dalam keluarga baru kami. Masing-masing mempunyai tanggungjawab. Cuma, doa saya agar hubungan yang terjalin ini diberkati dan sentiasa dilimpahkan rezeki.”
Pasangan ini akan pergi berbulan madu tetapi bukanlah seperti pasangan pengantin yang lain. Watie mahu pun Joey ketawa besar apabila ditanya mengenai ini.
“Kami masing-masing telah mempunyai anak. Jadi, mahu tak mahu terpaksa membawa mereka bersama. Jika tidak dibawa, dikata pula kami tidak sayangkan mereka. Nak buat macam mana, terpaksa terima. Bulan madu akan datang juga sama, kemungkinan Afif dan Zidani akan turut serta. Bagaimanapun, ia masih dalam perancangan.”
Kami ucapkan tahniah. Benda yang baik permulaannya diharapkan akan terus baik sampai ke penghujung hayat. Amin.
OH ARTIS: BULAN MADU DI MANA SAHAJA PUN BOLEH. YANG PENTING PERSEFAHAMAN DAN FAHAM AKAN TANGGUNGJAWAB MASING-MASING.



















