
KRU sudah 20 tahun. Bukan sahaja kami, malah anda juga turut membesar dengan lagu-lagu dari KRU. Ditubuhkan pada tahun 1992, Norman, Yusry dan Edry kini boleh berbangga dengan empayar KRU yang mereka bina. Jenama KRU juga sudah berada di pasaran antarabangsa.

Tahun demi tahun berlalu, KRU masih lagi bertapak di hati peminat. Walaupun tidak aktif dalam bidang nyanyian, tetapi mereka tetap aktif dan kreatif mengeluarkan segala macam produk yang boleh dibanggakan untuk bidang seni di Malaysia. Sememangnya KRU patut menjadi contoh kepada anak-anak muda sekarang melangkah hebat setapak demi setapak, lebih-lebih lagi sesama adik-beradik sendiri.
Sempena menyambut ulang tahun ke-20 KRU, malam tadi telah berlangsung satu mini konsert menempatkan begitu ramai artis-artis di bawah naungan KRU yang menyanyikan lagi-lagu KRU juga lagu-lagu ciptaan Edry. Konsert yang bermula pada jam 8.50 malam ini bertempat di Neverland@Orange, KL.

Persembahan pembuka oleh VIP, Lagu Sedih. Disusuli Baby Shima, Tilu (mendedangkan lagu Ku Bukan Aku), Mojo, Andai Ku Bercinta Lagi (turut menampilkan Edry bermain Keyboard). Bintang Idola Berita Harian 2011, Azhar menyanyikan lagu Kebahagian dalam Perpisahan dan Andai Kau Pergi (lagu hits kumpulan Indigo). Serta kumpulan yang semakin mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air, Fourteen, mendendangkan Berdua Bersatu.
Sebelum bersambung persembahan seterusnya, ditayangkan klip rangkaian filem-filem terbitan KRU yang sedia mencatat kutipan memberangsangkan seperti Cicakman, Karak, Magika, Jin Notti, Cinta-Kura-Kura, Hikayat Merong Mahawangsa serta filem baru yang bakal tayangkan sekitar Ogos nanti iaitu 29 Februari.
Momentum kerancakkan kembali dengan persembahan Iqa (Mentor) buat pertama kali bersama bandnya mendedangkan Di Penghujungnya dan Permata. Tak ketinggalan Adam menyanyikan lagu KRU-Janji Tinggal Janji dan Enough Is Enough.
KRU masih belum menampakkan diri. Persembahan diteruskan dengan kumpulan yang pernah berpayungkan label KRU, X-Factor dengan Sehangat Api dan Elite. Meskipun Elite muncul tanpa kehadiran Abby Abadi dan Fiza, namun Azza, Watie, Sasha dan Linda berjaya menggegarkan pentas dengan GIG, Trauma dan Manisnya Senyumanmu. Penonton turut ikut menyanyi dan menari. Begitulah sokongan padu diberikan penonton untuk KRU.
Selepas itu, giliran Sofarz mendendangkan Pencinta Terbaik (petikan soundtrack Cinta Kura-Kura) dan Ooh La! La! La!. Tomok dengan Arjuna (lagu tema drama bersiri terbitan KRU, Arjuna). Juga Jac menyanyikan Sebelah Jiwaku dan ‘lagu epik’ Sedetik Lebih (soundtrack Hikayat Merong Mahawangsa).

Akhirnya seletah 2 jam, kira-kira jam 10.50 barulah KRU muncul. Penonton sama-sama menyanyi apabila lagu-lagu rancak mereka dilagukan seperti Mengerti, Awas! Ooh La! La! La! dan Fanatik. Kemudian kira-kira 2000 peminat dibuai dengan track balada Untukmu, Apa Saja, Jangan Lafazkan dan Neverland terus panas dengan Terhangat Di Pasaran sebelum diakhiri dengan single baru, Ganas.
Tidak sampai 30 minit pun KRU beraksi. Rata-rata tidak puas hati dan mahu mereka meneruskan persembahan. Tapi apa yang tersaji itulah yang ditonton. Kami ucapkan selamat hari ulangtahun kepada nama-nama besar ini dan merupakan antara idola kami di sini. Tahniah kepada abang-abang KRU-Norman, Yusry dan Edry yang mengatakan ibubapa mereka adalah sumber inspirasi kejayaan mereka!
- Foto-foto oleh Shaik Amin
OHARTIS: TABIK SPRING PADA BRADER-BRADER KRU!



















