
Cari Pasal · Gosip · Selebriti · Tempatan
“Saya tidak pernah potretkan diri saya sebagai seorang yang baik” – Nora Danish
Nora Danish ternyata disambut kontrovesi sebaik sahaja dia pulang dari mencari ketenangannya di tanah suci Mekah baru-baru ini. Bukan sahajanya namanya terpalit sebagai ‘orang ketiga’ yang hampir menyebabkan keruntuhan rumah tangga rakan selokasi, Adi Putra yang membuat keputusan untuk bercerai dengan isterinya hanya selepas dua hari pulang mengerjakan umrah tetapi juga dengan gambar-gambarnya yang tersebar luas.
Biarpun dia sudah menafikan perkara tersebut dan perkahwinan Adi Putra juga sudah kembali pulih, Nora Danish mengakui dirinya masih terkejut dengan kontroversi tersebut.

Pun begitu, sebagai insan yang lebih mengetahui kebenaran yang berlaku dalam kehidupannya, dia pasrah dengan setiap dugaan yang melanda. Dia tidak mahu terlalu ambil pusing dengan gosip itu. Malah dia mengakui pemergiannya mengerjakan umrah telah memberikan satu ketenangan hakiki yang tidak mampu dijual beli. Selagi termampu dia akan terus bertahan dan menjelaskan keadaan sebenar kepada khalayak.
“Setiap kali ditanya (mengenai sesuatu kontroversi) saya akan terus menjawab perkara sebenar. Namun saya percaya perkara ini tidak akan pernah habis dan untuk itu saya sangat bersyukur dengan sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan keluarga serta rakan-rakan yang benar- benar mengenali saya.”
Selepas dikaitkan menjadi orang ketiga dalam masalah rumah tangga Adi Putra, dia dikejutkan pula dengan penyebaran gambar dirinya sedang berhibur di kelab malam dan lebih mengelirukan gambar tersebut diambil selepas dia pulang dari menunaikan umrah.
“Itu tidak benar sama sekali. Sebenarnya saya sendiri bingung dengan motif penyebaran gambar itu. Seperti yang kita tahu, selepas pulang dari Mekah, malaikat akan berada bersama kita selama 44 hari. Sudah tentu saya mahu berkelakuan sebaik mungkin selepas pulang dari sana.”
Nora juga tidak mahu dilihat seolah-olah umpama seorang yang suci daripada melakukan kesalahan kerana sebagai insan yang lemah, pasti ada kesilapan yang dilakukan.
“Saya tidak pernah potretkan diri saya sebagai seorang yang baik. Sebagai manusia bukan tohmahan dan cacian yang saya mahukan sebaliknya bimbingan. Kalau saya silap tegur dan ajarlah saya.”
Nora Danish juga menyimpan hasrat bertudung suatu hari nanti. Kini dia tidak mahu lagi memikirkan soal jodoh dan adalah lebih baik untuknya berserah kepada Yang Maha Esa kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik buat hamba-Nya. Yang penting, dia sudah mempunyai perancangan masa depan untuk anak tunggal kesayangan, Putra Rayqal Ramli.
Nora Danish yang merupakan duta syarikat Triways Hujjaj International Services Sdn. Bhd. (This), ke Mekah selama 13 hari di sana pada April lalu mengakui sangat senang dengan para jemaah lain yang tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.
OH ARTIS : YANG BAIK DARI ALLAH. YANG TIDAK BAIK TU SEMUA DARI DIRI SENDIRI. BELAJAR DARI KESILAPAN BUKAN DENGAN MEMBUAT KESILAPAN YANG BERULANG-ULANG.



















