
Bikin Panas · Panazzz · Selebriti · Tempatan
Blog hiburan tempatan disaman Satu Juta Ringgit atas tuduhan fitnah
Semalam dan juga hari ini, heboh satu dunia blog apabila sebuah blog hiburan tempatan, OhBulan! yang juga rakan media kami ingin disaman RM1,000,000 oleh bekas isteri Hattan, Noorfarashikin Othman. Noorfarashikin melabelkan blog tersebut telah memfitnah dirinya pada bulan Januari 2012 lalu sebagai penyebab hancurkan rumahtangga yang dibina bersama Hattan. Antara tuduhan yang diberikan adalah Noorfarashikin curang, tidak boleh dipercayai dan isteri yang tidak setia.
Berikut adalah berita penuh berkenaan isu ini:
Bekas isteri penyanyi popular Hattan menfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik blog hiburan Oh Bulan! kerana menyiarkan artikel fitnah mengenainya.
Noorfarashikin Othman, 32, seorang peniaga, menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, pada 3 Julai lepas melalui Tetuan Ranjit Singh & Yeoh dengan menamakan Driven Communications Sdn Bhd sebagai defendan.
Noorfarashikin bercerai dengan Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Shukri Sahabuddin selepas dua bulan berkahwin.
Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.
Peguam Nizam Bashir yang mewakili Noorfarashikin memberitahu media bahawa mahkamah menetapkan 10 Ogos ini bagi defendan menfailkan pembelaan dan juga pengurusan kes.
Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu antara lain memohon ganti rugi am berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Noorfarashikin mendakwa pada Januari lepas defendan melalaui laman web www.ohbulan.com telah menerbitkan satu artikel. Beliau berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau merupakan seorang yang curang, tidak boleh dipercayai dan isteri yang tidak setia.
Wanita itu berkata reputasi peribadi dan profesionalnya telah rosak dan beliau mengalami kesedihan, rasa malu dan tersinggung perasaan akibat penyiaran artikel itu. – Bernama

Pada pemerhatian kami, ini merupakan pertama kali blog hiburan tempatan ingin disaman dengan jumlah yang melibatkan jutaan ringgit.
OHARTIS: SELAIN OHBULAN, PAULTAN.ORG JUGA ADALAH WEBSITE YANG BERNAUNG DI BAWAH DRIVEN COMMUNICATIONS SDN BHD. MOGA MEREKA DAPAT MENYELESAIKAN SEMUA INI DENGAN BAIK. TAPI TAK PERLU RISAU SEBAB STANDARD ISU SAMAN-MENYAMAN MACAM NI, PASTINYA AKAN BERAKHIR DENGAN BERMAAFAN. OHBULAN! ADALAH RAKAN MEDIA KAMI TETAPI BUKANLAH SEBUAH BLOG YANG BERNAUNG DI BAWAH PENGURUSAN OH MEDIA NETWORK SDN BHD. APAPUN SEBAGAI PENULIS HIBURAN, SENTIASALAH BERHATI-HATI DENGAN APA YANG ANDA TULISKAN.



















