
Biasanya kita dengar jemputan berbuka puasa bersama anak-anak yatim, warga tua dan mereka yang kurang bernasib baik dari pelbagai yayasan. Atas kesedaran berkongsi rezeki dan kegembiraan menyambut Ramadhan, syarikat produksi outLOUD Studios dengan kerjasama syarikat ATCEN telah berbesar hati mengadakan aktiviti amal untuk mereka yang kurang bernasib baik tetapi sememangnya berbeza.
Mereka yang dimaksudkan adalah, golongan yang kurang mampu sehingga tidak punya kediaman dan menumpang di pinggir-pinggir jalan sekitar Chow Kit, Jalan Pasar Seni dan Jalan Pudu. Program Jom Sahur ini telah dijalankan pada 30 Julai 2012 bersamaan 8 Ramadhan 2012 yang lalu. Kumpulan sosial korporat outLOUD Studios telah turun padang untuk mengedarkan makanan dan minuman kepada golongan terbabit dan berlarutan sehingga 5.00pagi dengan jayanya.

Program amal ini telah disertai sendiri oleh Yang Berbahagia Tan Sri Napsiah Omar selaku Ketua Pengerusi outLOUD Studios dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ATCEN dan outLOUD, saudara Ernie Chen yang turut turun padang melaksanakan program amal ini.
“Aktiviti amal tersebut merupakan julung kalinya diadakan sempena bulan Ramadan tahun ini. Ini sangat berbeza dengan tahun-tahun yang lain yang kebanyakkannya menjemput sekolah anak-anak yatim untuk majlis berbuka puasa. Program amal ini akan berterusan kepada mereka yang memerlukan bantuan di samping dapat berkongsi kegembiraan dengan mereka.
Sikap bertanggungjawab korporat perlu ada dalam membantu mengubah nasib mereka yang kurang bernasib baik. Saya percaya pengaruh baik seperti ini akan menggembirakan mereka”, jelas Ernie Chen.

OH ARTIS: TIDAK KIRA SIAPA KITA, DARJAT KITA, AGAMA DAN BANGSA – SIKAP KEMANUSIAN WAJIB TERUS TERPELIHARA PADA SANUBARI SETIAP INSAN.



















